PM zahir syukur prestasi ringgit terbaik dalam tempoh lebih tujuh tahun

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Pelancaran Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara (JAN) di PICC/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 Januari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan rasa syukur terhadap prestasi ringgit yang terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri menyatakan syukur atas pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.
  • Pengukuhan disambut positif sebagai petanda keyakinan terhadap hala tuju ekonomi negara.
  • Pengukuhan dipacu oleh selera risiko pelabur selepas BNM mengekalkan OPR.
  • Ringgit menghampiri paras tertinggi lebih tujuh tahun, hampir mencapai 3.99 berbanding dolar AS.

Pengukuhan nilai ringgit yang menghampiri paras 3.99 berbanding dolar AS itu disambut positif oleh Datuk Seri Anwar, selaras dengan keyakinan terhadap hala tuju ekonomi negara.

“Alhamdulillah,” katanya ringkas kepada media selepas Majlis Pelancaran Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar AS pada Isnin, hampir kepada paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun, didorong peningkatan selera risiko pelabur susulan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), selain kelemahan indeks dolar AS.

Pada pukul 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 3.9850/9950 berbanding dolar AS daripada 4.0045/0080 yang dicatatkan pada Jumaat lalu.

Kali terakhir ringgit diniagakan pada paras hampir sama ialah pada 24 Mei 2018 apabila mencecah 3.9797 berbanding dolar Amerika Syarikat.