fb fb fb fb fb

Malaysia punya potensi besar terus mara ke hadapan- Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 2 Julai- Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus mara ke hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dengan bantuan dan usaha generasi muda, impian itu dapat dicapai sekali gus mengangkat martabat negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya mahu teruskan khidmat saya agar generasi penerus anak cucu kita lebih terjamin, bahawa negara ini diangkat martabatnya.

"Saya punyai keyakinan yang sangat tinggi mahu melihat Malaysia punya potensi dan sebagai ‘orang tua’, saya hanya mampu menyeru saudara untuk melakukan sesuatu bagi menentukan kita terangkat ke peringkat berkenaan, itu sahaja,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan Kerajaan MADANI tidak akan berundur biarpun berhadapan kritikan terhadap tindakan tidak popular antaranya penyasaran subsidi diesel dan pembanterasan rasuah secara tegas.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha dan pelaksanaan itu penting bagi pengukuhan asas ekonomi selain membanteras kecurian hasil negara.

"Subsidi tidak disalurkan kepada golongan sasar seperti diesel kita tahu, penyeludupan itu berleluasa. Itu sudah rahsia umum puluhan tahun. Kita bantu nelayan, tapi ada yang menggunakan untuk menjual kepada nelayan asing.

"Kita tahu di kiosk-kiosk seperti petrol di sempadan itu penuh dengan pengambilan atau pembelian hasil subsidi untuk kegunaan negara lain. Apakah itu tidak merisaukan? tentu merisaukan, bagi yang bertanggungjawab", katanya.

ROSLINA BINTI DIN