KUALA LUMPUR, 17 Januari - Malaysia mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima Palestin sebagai negara anggota.
Bagi menzahirkan hasrat rakyat Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar mengirim sekeping poskad khas yang ditujukan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menerusi Wakil Tetap Malaysia ke PBB.
"Pagi ini saya dan jemaah menteri telah menandatangani dan mengirim sekeping poskad khas yang ditujukan kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
"Poskad khas ini adalah bagi menzahirkan hasrat rakyat Malaysia dengan mendesak PBB menerima Palestin sebagai negara anggota dan menuntut keganasan, kezaliman terhadap warga Palestin oleh rejim Zionis segera dihentikan.
"Saya berharap suara tulus rakyat Malaysia ini mendapat perhatian serius daripada Guterres," katanya melalui hantaran Facebook hari ini.
Tambah beliau, rakyat Malaysia boleh ikut serta dalam Kempen Pengiriman Poskad Khas kepada Setiausaha Agung PBB dengan membeli poskad bermula esok.
Poskad Khas tersebut boleh dibeli di semua pejabat pos atau menerusi laman sesawang rasmi Pos Malaysia Berhad (www.shop.pos.com.my) pada harga RM2.00 sekeping (termasuk setem pracetak RM0.90 sen).
Sementara itu, beberapa anggota kabinet turut mengambil langkah sama menerusi Kempen Pengiriman Poskad Khas kepada Setiausaha Agung PBB sebagai usaha menyuarakan aspirasi rakyat Malaysia bagi menuntut keadilan dan keamanan Palestin.
Menerusi status Facebook, Kementerian Komunikasi memaklumkan kempen itu merupakan kerjasama antara Kementerian Komunikasi dengan Pos Malaysia Berhad bagi mewujudkan satu saluran untuk membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan pandangan kepada PBB dalam memelihara keamanan dan keselamatan sejagat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof antara yang turut sama mengirim poskad khas itu bersama-sama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.