PM umum RM20 juta, perkukuh kemudahan pendidikan di parlimen Tambun

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 14 Februari– Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi memperkukuh dan menambah baik kemudahan pendidikan di Parlimen Tambun, termasuk aspek penyelenggaraan serta penaiktarafan prasarana asas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk pendidikan di Parlimen Tambun.
  • Dana ditujukan untuk penyelenggaraan dan penaiktarafan prasarana asas sekolah.
  • Pengumuman dibuat semasa majlis dengan kira-kira 3,000 pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah.
  • Tujuan peruntukan ialah menaikkan martabat dan kualiti pelajar setanding dengan negara maju.

Pengumuman itu dibuat sewaktu beliau menyantuni kira-kira 3,000 pelajar daripada 16 buah sekolah, ibu bapa dan pihak pengurusan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Yuk Choy dalam Majlis Sumbangan Kasih MADANI sempena Tahun Baharu Cina dan Ramadan yang menjelang tiba.

“Dalam ucapan, saya menyeru anak-anak murid agar terus memelihara budaya hormat-menghormati, memuliakan semua golongan tanpa mengira latar, serta menanam sifat rendah diri sebagai asas pembentukan sahsiah dan keperibadian unggul,” kata Datuk Seri Anwar dalam kenyataannya di Facebook.

Beliau menegaskan, peruntukan RM20 juta itu diharapkan menjadi pemangkin kepada kemajuan institusi pendidikan, seterusnya mengangkat martabat dan kualiti anak-anak tempatan setanding dengan negara-negara maju di dunia.

“Mudah-mudahan usaha ini menjadi pemangkin kepada kemajuan institusi pendidikan negara, seterusnya mengangkat martabat dan kualiti anak-anak kita agar setanding dengan negara-negara maju di persada dunia,” menurut kenyataan itu.