fb fb fb fb fb

PM umum RM15 juta bantuan pesawah menjelang Ramadan

FOTO FACEBOOK Anwar Ibrahim

JERLUN, 27 Februari- Pesawah di seluruh negara bakal menerima agihan peruntukan berjumlah RM15 juta daripada Padi Beras Nasional (BERNAS) sebelum Ramadan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, sumbangan itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM30 juta yang telah dipersetujui oleh BERNAS sebelum ini bagi membantu pesawah khususnya mereka yang masih dibelenggu kemiskinan.

"Saya minta BERNAS bantu pesawah dan bukannya parti politik memandangkan BERNAS jana keuntungan daripada pesawah. Jadi mereka setuju untuk sumbang RM30 juta sebelum ini.

"Kita akan salurkan dulu RM15 juta kepada pesawah bagi meringankan beban mereka membuat persediaan awal Ramadan dan Syawal," katanya.

Perdana Menteri berucap pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Infrastruktur bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di kawasan Muda Fasa 1, Kampung Pida 4, di sini hari ini.

Dalam ucapannya, beliau turut memaklumkan projek pembangunan infrastruktur itu melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM5.376 bilion dan akan dibangunkan secara berfasa dengan fasa pertama melibatkan peruntukan berjumlah RM1 bilion.

SITI AISHAH MD ISA