KUALA LUMPUR, 28 Mei- Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan terus dipergiat sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan ekosistem pelaburan Islam di negara ini.
Bagi tujuan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan KWAP akan melabur melalui Dana Pemacu sehingga RM3 bilion menerusi pelaburan patuh Syariah.
"Ia akan dilakukan dalam pelaburan patuh Syariah untuk menyokong pertumbuhan tinggi syarikat tempatan Malaysia dan juga memangkin ekosistem pelaburan teroka," katanya.
Tambah Anwar, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pula akan menubuhkan 'Social Exchange' pertama di Malaysia, pendekatan berstruktur untuk penyertaan modal swasta dalam projek dengan hasil sosial yang positif.
"Ini akan memberi manfaat kepada entiti seperti badan bukan kerajaan (NGO), perusahaan sosial dan Majlis Agama Islam Negeri.
"Ketiga, saya juga berbesar hati memperkenalkan dimensi baharu kepada terbitan sukuk kita di bawah kerajaan Malaysia melalui struktur wakalah 'bil-khadamat'.
"Kita merancang untuk memuktamadkan sukuk ini menjelang 2025, sambil berusaha untuk menyelesaikan semua pengaturan dan penyediaan yang diperlukan," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam dengan tema Ekonomi Islam Global: Agenda Reformasi Untuk Kesejahteraan Bersama di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.