TASHKENT, 17 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba di Uzbekistan hari ini untuk lawatan rasmi sulungnya, selama tiga hari.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent pada pukul 2.15 petang waktu tempatan selepas berlepas dari Kazakhstan.
Datuk Seri Anwar telah disambut oleh delegasi Uzbekistan terdiri daripada Perdana Menterinya, Abdulla Nigmatovich Aripov, Menteri Luar, Bakhtiyor Saidov, Datuk Bandar Tashkent, Shavkat Umrzakov, Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Karomidin Gadoev dan juga Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan, Ilham Tuah Illias.
Kunjungan Perdana Menteri itu juga bagi memenuhi undangan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, selain mengeratkan hubungan strategik kedua-dua buah negara.
Ini merupakan lawatan pertama Datuk Seri Anwar ke negara Asia Tengah, sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 22 November 2022.
Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, dan juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Tahun lalu, Uzbekistan merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Asia Tengah.
Jumlah perdagangan antara kedua negara bernilai RM451.9 juta, meningkat 30.9 peratus berbanding 2022.