fb fb fb fb fb

PM tiba di Sarawak untuk lawatan rasmi dua hari

Foto RTM

MIRI, 11 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Miri tengah hari ini tadi, untuk lawatan rasmi dua hari ke Sarawak.

Ketibaan pesawat khas yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Miri kira-kira pukul 12.20 tengah hari.

Antara yang hadir menyambut ketibaan Datuk Seri Anwar termasuk Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.

Sejurus tiba, beliau berlepas ke Limbang menaiki helikopter bagi menyempurnakan Majlis Peluncuran Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 .

Pada sebelah petang, Perdana Menteri akan meneruskan lawatan ke Kuching.

Beliau akan mengadakan pertemuan bersama Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Sarawak serta menghadiri majlis makan malam bersama komuniti.

Esok, Datuk Seri Anwar dijadual merasmikan bangunan baharu X-FAB Sarawak Sendirian Berhad sebelum menunaikan solat jumaat bersama jemaah setempat di Masjid Darul Hana, Petra Jaya.

Kemuncak lawatan Perdana Menteri adalah menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang juga akan dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM