fb fb fb fb fb

PM tiba di Kota Singa untuk lawatan kerja rasmi sehari

(FOTO HIASAN)

SINGAPURA, 30 Januari - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Singapura untuk lawatan kerja rasmi ke Kota Singa.

Lawatan rasmi ke luar negara ketiga Anwar sejak memegang jawatan Perdana Menteri itu diiringi isterinya Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail.

Pesawat khas yang membawa perdana menteri dan isteri mendarat di Kompleks VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada pukul 9.30 pagi tadi.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) disambut Menteri Luar Singapura, 
Dr. Vivian Balakrishnan (kiri) /FOTOJPM)

Ketibaan beliau disambut Menteri Luar republik itu Dr. Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Dr.Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr.Azfar Mohamad Mustafar.

Delegasi Perdana Menteri disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil dan pegawai kerajaan dari kementerian serta agensi yang berkaitan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Zohari Tun Abang Haji Openg dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz bin Ghazi turut menyertai delegasi tersebut.

Jadual padat menanti Perdana Menteri dalam rangka lawatan sehari itu bermula dengan sambutan rasmi yang diadakan di Istana.

Perdana Menteri juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden, Halimah Yacob dan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong.

Kedua-dua Perdana Menteri itu juga bakal menyaksikan pemeteraian tiga perjanjian persefahaman (MOU) iaitu Mempromosikan Kerjasama dalam Data, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital serta dua Kerangka Kerjasama dalam Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau.

Anwar juga turut akan mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura, petang ini.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Datuk Seri Anwar ke Kota Singa selepas menyandang jawatan Perdana Menteri.

Media Baharu