fb fb fb fb fb

PM tiba di Kenya untuk lawatan rasmi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut Setiausaha Kabinet Utama Kenya, Musalia Mudavadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta/ BERNAMA

NAIROBI, 23 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Nairobi, Kenya pada pukul 5 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi beliau.

Ia adalah singgahan terakhir bagi lawatan ke tiga negara di benua Afrika termasuk Ethiopia dan Afrika Selatan.

Pesawat yang membawa beliau dan delegasi mendarat di Terminal State Pavilion di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta dan disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohamad dan Ketua Protokol Kenya, Severine Luyali.

Perdana Menteri turut disambut oleh Setiausaha Kabinet Utama Kenya, Musalia Mudavadi; Setiausaha Kabinet Kenya bagi Hal Ehwal Belia, Ekonomi Kreatif dan Sukan, Salim Mvurya; Ketua Pengarah Hal Ehwal Politik dan Diplomatik, Duta Besar Josphat Maikara; Timbalan Ketua Pengarah Direktorat Asia dan Pasifik, Duta Besar Jane Makori; serta Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia, Duta Besar Ekitela Moru.

Perdana Menteri akan menghadiri jamuan rasmi yang dihoskan oleh Presiden Kenya, Dr. William Samoei Ruto pada awal lawatan hari pertama.

Lawatan beliau diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Esok, beliau akan diberikan sambutan rasmi peringkat negara dan turut mengadakan mesyuarat empat mata dengan Ruto.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN