DHAKA, 4 Oktober - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini untuk memulakan lawatan kerja rasmi sehari ke Bangladesh bagi membuka laluan kepada hubungan lebih erat antara Malaysia negara itu.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri tiba di lapangan terbang antarabangsa Hazrat Shahjalal pada pukul 2.00 petang waktu tempatan (4.00 petang waktu Malaysia).
Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Dr Muhammad Yunus berada di lapangan terbang bagi menyambut ketibaan Perdana Menteri, bersama-sama dengan para Penasihat Bangladesh dan pegawai-pegawai kanan kerajaan Bangladesh, serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh Haznah Md Hashim.
Ketibaan Anwar disambut dengan permaidani merah serta 19 das tembakan meriam menandakan lawatan kerja Perdana Menteri itu secara rasminya bermula serta kawalan kehormatan oleh anggota Angkatan Tentera Bangladesh.
Lawatan itu yang dilakukan selepas lawatan negara Anwar selama tiga hari ke Pakistan, akan menyaksikan Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemenang hadiah Nobel Muhammad Yunus untuk berbincang dan mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Bangladesh, di samping mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.
Anwar juga dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Mohammed Shahabuddin sebelum berlepas ke Kuala Lumpur hari ini.
Pada lawatan ini, Anwar diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.