KUALA LUMPUR, 17 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terkesan dengan kisah hidup Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan keluarganya akibat situasi perang di Semenanjung Gaza.
Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata, beliau mendengar kisah itu yang diceritakan oleh Muhammad Nadir sendiri mengenai keterujaan anak-anaknya menikmati telur yang merupakan makanan asas.
Anwar dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkesempatan bertemu dengan aktivis kemanusiaan itu bersama keluarganya di Kompleks Seri Perdana.
"Alhamdulillah, gembira melihat isteri dan anak-anaknya kini berada dalam keadaan baik selepas melalui penderitaan yang panjang di Semenanjung Gaza.
"Kami berbicara panjang terkait penderitaan rakyat Palestin, pendirian Malaysia serta pengalaman anggota keluarganya keluar dari zon konflik sebelum pulang ke Malaysia.
"Saya mendoakan saudara Nadir dan keluarganya dapat meneruskan kehidupan dengan tenang.
“Insya-Allah, saya akan terus membantu sedaya upaya dalam memudahkan urusan menyalurkan bantuan kemanusiaan dari Malaysia kepada rakyat Palestin,” katanya.
Semalam, RTM melaporkan Perdana Menteri menyatakan penghargaan kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi dan Kerajaan Mesir atas kerjasama yang diberikan, dalam membawa keluarga Muhammad Nadir Al-Nuri keluar dari kawasan bergolak itu.