PUTRAJAYA, 2 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong.
Pada pertemuan yang berlangsung selama satu jam itu, Anwar dan Wang saling bertukar-tukar pandangan mengenai isu semasa dan antarabangsa terutamanya berkaitan aspek keselamatan yang memerlukan kerjasama kedua-dua negara.
"Platform ini juga peluang untuk kami mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dalam mendepani cabaran hal keselamatan Asia dan juga dunia, amnya," kata Anwar menerusi hantaran di Facebooknya.
Pada pertemuan itu juga, Anwar turut menyampaikan surat jemputan kepada Presiden China, Xi Jinping untuk berkunjung ke Malaysia sempena ulangtahun ke 50 hubungan Malaysia-China tahun hadapan.
"Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif antara Malaysia dan China. Moga lebih banyak peluang kerjasama antara Malaysia-China dapat dipertingkatkan lagi demi manfaat bersama," kata Anwar.
Lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia itu dijangka memberi peluang terbaik bagi kedua-dua pihak membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa.
Ketibaan delegasi dari China itu disambut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.