PUTRAJAYA, 11 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat lima Menteri Luar dari Australia, China, Pakistan, Turkiye dan Palestin di Pejabat Perdana Menteri.
Sesi kunjungan hormat secara bergilir dimulakan seawal pukul 9.00 pagi oleh Menteri Luar Australia, Penny Wong bersama delegasi.
Selain kunjungan hormat, pertemuan turut menyaksikan perbincangan dua hala selama 30 minit bagi membincangkan pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama.
Turut hadir dalam perbincangan berkenaan ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Sesi kunjungan hormat kemudian diteruskan dengan Menteri Luar China, Wang Yi; Menteri Luar Pakistan yang juga Timbalan Perdana Menteri Pakistan, Ishaq Dar; Menteri Luar Turkiye, Dr Hakan Fidan; serta Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Palestin, Dr Estephan Salameh.
Perbincangan bersama Menteri Luar Turkiye, turut disertai Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Tengah hari ini, Datuk Seri Anwar akan turut menerima kunjungan hormat daripada Wakil Tertinggi Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas dan Setiausaha Negara Luar United Kingdom, David Lammy.
Sesi kunjungan hormat berkenaan diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 yang berlangsung bermula 8 Julai hingga hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.