fb fb fb fb fb

PM terima kunjungan hormat Duta Besar China, Pengerusi CCCC

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 12 Disember- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Pengerusi China Communications Construction Company (CCCC), Wang Tongzhou serta delegasi syarikat itu di pejabatnya di Putrajaya.

Anwar berkata, kunjungan tersebut adalah susulan pertemuan beliau dengan Wang Tongzhou di Nanning pada September lalu.

"Dalam perjumpaan ini, saya tekankan semula pendirian bahawa Malaysia amat komited dan menghargai kerjasama strategik dengan negara China terutamanya pelaburan dan sokongan kemahiran pembangunan infrastruktur daripada syarikat-syarikat China.

"Wang Tongzhou (juga) telah berkongsi pengalaman dan kemaskini semasa projek ECRL (Laluan Rel Pantai Timur)," jelas Anwar menerusi Facebooknya.

Ujarnya, CCCC adalah kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek ECRL.

"Saya tegaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam projek ini termasuk kerajaan-kerajaan negeri perlu berganding bahu bagi memastikan projek ECRL dapat disiapkan mengikut jadual," tambahnya.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut saling bertukar pandangan mengenai ekosistem pembangunan projek mega terutama berkaitan infrastruktur pengangkutan dalam dan antara bandar.

SITI AISHAH BINTI MD ISA