PM terima kunjungan hormat Duta Besar AS

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 11 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgar D. Kagan, yang bakal menamatkan perkhidmatannya dan kembali ke Washington dalam masa terdekat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri menghargai sumbangan Duta Besar AS, Edgar D. Kagan, dalam memperkukuh hubungan strategik Malaysia–AS.
  • Kerjasama dua negara merangkumi perdagangan, pelaburan, pendidikan, digital, teknologi dan keselamatan.
  • Kagan akan menamatkan perkhidmatan dan pulang ke Washington dalam masa terdekat.

Datuk Seri Anwar menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, pertemuan itu turut menjadi ruang menzahirkan penghargaan atas sumbangan beliau dalam memperkukuh hubungan strategik Malaysia–AS sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Kerjasama antara kedua-dua negara turut merangkumi sektor perdagangan, pelaburan, pendidikan, digital, teknologi serta kerjasama keselamatan.

“Hubungan erat antara kedua-dua negara kekal penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan memperluas peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat,” menurut hantaran itu.

Kagan yang mula berkhidmat sebagai Duta AS ke Malaysia yang ke-22 sejak Disember 2023 dan sebelum itu sebagai timbalan ketua perwakilan bakal mengakhiri tempoh perkhidmatan di negara ini pada 16 Februari ini.