PUTRAJAYA, 9 September - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada tujuh Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang baharu, susulan penerimaan watikah pelantikan mereka daripada Yang di-Pertuan Agong pada 4 September lalu.
Ketujuh-tujuh perwakilan itu ialah Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah (Duta Besar Malaysia ke Thailand), Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman (Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi), dan Datuk Yubazlan Yusof (Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan).
Turut menggalas amanah ialah Datuk Mohammad Ali Selamat (Duta Besar Malaysia ke Brazil), Mohamad Razdan Jamil (Duta Besar Malaysia ke Jerman), Haznah Md. Hashim (Duta Besar Malaysia ke Sepanyol), serta Datuk Azri Mat Yacob (Duta Besar Malaysia ke Poland).
Dalam pertemuan itu, Datuk Seri Anwar menitipkan pesanan agar para perwakilan terus memperkukuh hubungan strategik dengan negara tuan rumah, khususnya dalam aspek perdagangan dan pelaburan.
“Tumpuan utama harus diberikan kepada usaha memacu aktiviti perdagangan dua hala dan menarik pelaburan asing berkualiti tinggi, demi menjamin kemakmuran ekonomi negara,” katanya.
Perdana Menteri turut menyatakan keyakinan bahawa semua ketua perwakilan berkenaan akan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi dan kecemerlangan, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.