
PUTRAJAYA, 4 Mac – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menekankan keperluan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku penipuan dalam talian.
- Perdana Menteri menyeru tingkat kesedaran awam mengenai peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
- Laporan segera penting untuk meningkatkan peluang memulihkan wang yang dicuri.
- NSRC kini melibatkan pegawai polis, bank dan syarikat telekomunikasi untuk tindakan pantas.
- Perbezaan laporan awal dan lewat tunjukkan impak besar terhadap jumlah wang yang diselamatkan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas Perdana Menteri meneliti sendiri sistem operasi NSRC, khususnya dalam mengesan aliran wang yang dipindahkan daripada akaun mangsa ke akaun keldai melalui pelbagai lapisan transaksi.
Menurut beliau, Perdana Menteri menzahirkan kebimbangan terhadap situasi mangsa yang kehilangan wang dalam tempoh singkat serta menekankan kepentingan laporan segera bagi meningkatkan peluang mendapatkan semula wang yang dicuri.
“Satu keprihatinan di pihak Perdana Menteri ialah bagaimana kita dapat meningkatkan kesedaran rakyat mengenai NSRC dan memastikan tindakan pantas diambil sekiranya menjadi mangsa, supaya wang yang dicuri berpeluang diselamatkan,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Datuk Fahmi berkata dua contoh kes turut dikongsikan dalam mesyuarat berkenaan bagi menunjukkan perbezaan ketara antara laporan awal dan laporan lewat.
Dalam satu kes, seorang individu kehilangan lebih RM800,000 daripada akaun bernilai RM1 juta apabila transaksi bermula sekitar jam 2 petang, namun laporan kepada NSRC hanya dibuat kira-kira jam 10 malam. Hasilnya, kira-kira RM170,000 sahaja berjaya diselamatkan.
Sebaliknya, dalam satu kes lain, hampir keseluruhan wang berjaya diselamatkan apabila mangsa menghubungi NSRC sejurus menyedari berlaku penipuan.
Beliau turut memaklumkan orang ramai tidak lagi perlu membuat laporan polis secara berasingan kerana operasi NSRC kini melibatkan pegawai dan anggota polis yang bersedia menerima panggilan serta membantu proses laporan.
NSRC juga menempatkan wakil bank-bank komersial dan syarikat telekomunikasi bagi mempercepatkan sekatan transaksi serta pengesanan aliran dana, sekali gus meningkatkan keberkesanan tindakan pemulihan.