fb fb fb fb fb

Tidak pernah ada perbincangan sentuh status agama Islam - PM

Anwar Ibrahim

IPOH, 6 Oktober- Tidak pernah ada sebarang perbincangan dalam kerajaan mengenai penukaran status agama Islam yang merupakan agama bagi Persekutuan, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menjelaskan bahawa soal bahasa kebangsaan, agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan raja-raja Melayu tidak pernah disentuh atau dipertikaikan.

"Ini khayalan apa ini? Hal-hal seperti ini hanya mengajak kita untuk berbincang dan membawa kepada kebencian berdasarkan pemalsuan fakta.

"Datuk Seri Saarani (Menteri Besar Perak) dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ada di sini; pernahkah ada perbincangan dalam kalangan pegawai mengenai penolakan prinsip-prinsip seperti bahasa, Islam, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, atau kedudukan raja-raja? Tidak ada.

"Sepanjang hampir dua tahun saya menjadi Perdana Menteri, isu ini tidak pernah disuarakan atau dibicarakan," tegasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa kejayaan kerajaan pada hari ini telah mendorong pihak tertentu untuk memainkan sentimen tersebut dengan menggunakan payung agama.

Anwar berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh hari ini. Turut hadir adalah Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari.

SITI AISHAH MD ISA