NAIROBI, 25 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas pulang ke tanah air selepas menamatkan siri lawatan ke tiga negara di rantau Afrika.
Pesawat khas Malaysia Airlines yang membawa Perdana Menteri berlepas dari State Pavilion Terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta pada pukul 7 malam waktu tempatan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pesawat yang membawa beliau dan deligasi dijadual tiba di Kuala Lumpur pada Selasa.
Datuk Seri Anwar mengadakan lawatan bersejarah ke Ethiopia untuk mempertingkatkan kerjasama dengan benua Afrika melalui ibu pejabat Kesatuan Afrika di ibu negara itu, Addis Ababa.
Lawatan beliau selama tiga hari bermula 18 November ke negara dikenali sebagai “Horn of Africa” atau Tanduk Afrika itu merupakan yang pertama bagi Perdana Menteri Malaysia, selain sebagai lawatan balas selepas kunjungan rasmi Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali ke Malaysia pada Oktober 2024.
Dari Addis Ababa, beliau berlepas ke Johannesburg, Afrika Selatan untuk lawatan kerja dari 20 hingga 23 November bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20, sebelum menuju di Nairobi, Kenya dari 23 hingga 24 November.
Lawatan beliau diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, pegawai kanan kerajaan serta delegasi ketua perniagaan.