
PUTRAJAYA, 26 Januari -Jabatan Audit Negara (JAN) disyorkan mewujudkan satu pasukan bagi terus menilai dan mencari penambahbaikan terhadap setiap ikhtiar yang dilaksanakan jabatan itu, khususnya dalam usaha mengekang kebocoran dana awam.
- Wujudkan pasukan khas dalam Jabatan Audit Negara untuk menilai dan mencari penambahbaikan berterusan bagi mengatasi kebocoran dana awam.
- Guna pendekatan baharu lebih dinamik dan pendigitalan perkhidmatan untuk meningkatkan keberkesanan audit.
- Perluas pelaksanaan audit hingga ke peringkat akar umbi supaya peranan audit disampaikan secara mesra kepada rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu perlu merangkumi pendekatan baharu yang lebih dinamik, selain langkah sedia ada seperti pendigitalan perkhidmatan.
“Kalau kita kekal dengan pemikiran tahap pencapaian lama kita tidak akan ke mana-mana. Oleh itu, mesti ada satu keresahan yang secara positif bagaimana untuk memperbaiki.
“Jadi kita harus ada pasukan yang selalu memikir, merenung, mencari jalan untuk memperbaiki mana dia ruang yang memungkinkan kebocoran berlaku, ruang yang memungkinkan tindakan itu agak lebih perlahan daripada biasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara, di sini.
Tambah beliau, pelaksanaan audit juga perlu diperluaskan hingga ke peringkat akar umbi bagi menyantuni rakyat agar peranan audit tidak dilihat sebagai sesuatu yang menggerunkan masyarakat.