fb fb fb fb fb

PM Singapura tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong memeriksa perbarisan kawalan kehormatan Rejimen Renjer Diraja setibanya di Kompleks Bunga Raya KLIA/ BERNAMA

SEPANG, 6 Januari- Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari bersempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11, esok.

Pesawat yang membawa beliau dan isteri, Loo Tze Lui tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pukul 6.30 petang. Ketibaan beliau disambut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya esok dan seterusnya akan menghadiri Mesyuarat Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 (ALR) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin dijangka menilai perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Singapura dan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat (LOI) mengenai pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar, serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

Pertemuan ini juga sebagai tanda memperingati ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara jiran yang berkongsi hubungan rapat dalam pelbagai bidang.

ROSLINA BINTI DIN