KUALA LUMPUR, 5 Januari- Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula esok sempena Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan Wong akan diiringi oleh isterinya Loo Tze Lui, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong serta beberapa menteri lain.
“Perdana Menteri Wong akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya diikuti mesyuarat delegasi Pemukiman Pemimpin bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Satu kenyataan akhbar bersama akan dikeluarkan selepas pemukiman itu,” menurut Kementerian Luar Negeri yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra.
“Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam memorandum persefahaman (MoU), dan satu Surat Niat (LOI) mengenai pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar, serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan,” menurut Wisma Putra.
Malaysia dan Singapura, rakan dagang utama dalam ASEAN, mencatat perdagangan dua hala bernilai AS$78.59 bilion pada tahun lepas, meningkat 6.7 peratus daripada 2023.
Lawatan tersebut juga menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.