PUTRAJAYA, 7 Januari- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong yang sedang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini pagi ini.
Wong tiba semalam untuk lawatan kali keduanya ke Malaysia sejak memegang jawatan pada 15 Mei 2024. Lawatan pertama beliau adalah pada 11 Jun tahun lalu.
Ketibaan beliau pada pukul 9.50 pagi disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis dimulakan dengan alunan lagu kebangsaan kedua-dua negara sebelum Wong memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat).
Turut hadir ialah isteri Wong, Loo Tze Lui bersama isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, serta barisan menteri termasuk Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Selepas menandatangani buku pelawat, Wong mengadakan mesyuarat delegasi Pemukiman Pemimpin bersama Anwar.
Mesyuarat tersebut membincangkan penilaian hubungan dua hala Malaysia-Singapura, isu serantau dan hal ehwal antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat (LOI) melibatkan pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.
JS-SEZ dijangka memberi manfaat bersama kepada perniagaan dan masyarakat kedua-dua negara termasuk meningkatkan aliran barangan dan individu, memudahkan urusan perniagaan serta menyokong pembangunan bakat.
Sebagai jiran rapat dan anggota pengasas ASEAN, Malaysia dan Singapura menjalin hubungan erat dalam pelbagai bidang.
Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan dua hala mencecah AS$78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November 2024, meningkat 6.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Tahun ini turut menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura, simbol hubungan kukuh antara kedua-dua negara.