
SEPANG, 20 Februari– Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berlepas pulang malam ini selepas menamatkan lawatan rasmi selama satu hari ke Malaysia.
- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong selesai lawatan rasmi sehari ke Malaysia dan berlepas pulang dari KLIA malam ini.
- Lawatan termasuk kunjungan Carcosa Seri Negara, sesi iftar ringkas, pertemuan empat mata dan makan malam rasmi bersama PM Anwar Ibrahim.
- Pertemuan menekankan pengukuhan kerjasama dua hala dan susulan Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12.
Upacara pelepasan yang berlangsung di KLIA Terminal 1 disempurnakan dengan sambutan permaidani merah serta Kawalan Kehormatan Setempat (KKS) oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) melibatkan dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat, diketuai Kapten Zat Aiman Mat Ripin.
Wong bersama delegasi berlepas menaiki pesawat komersial pada pukul 11.20 malam, diiringi Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Shahrol Anuwar Sarman serta Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Carcosa Seri Negara yang merangkumi kunjungan ke galeri, sesi iftar ringkas serta pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum menghadiri majlis makan malam rasmi pada sebelah malam.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama dua hala dan isu berkepentingan bersama termasuk susulan hasil Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 yang berlangsung pada 4 Disember 2025.
Lawatan khas itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Singapura dalam memperkukuh kerjasama strategik serta memastikan hubungan dua hala kekal dinamik, stabil dan memberi manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara.