DENGKIL, 24 Januari- Wujudnya keperluan mendesak untuk negara memperkukuh kekuatan dalaman di sebalik ketidaktentuan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat perlu bangkit dan fokus terhadap bidang-bidang kritikal seperti ilmu dan kemahiran, keterampilan, serta kecerdasan buatan (AI).
Ini didorong oleh hasil lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta sesi Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland, baru-baru ini.
"Sekarang ini dengan dasar Amerika Syarikat (AS) tidak menentu, kita harus bina kekuatan dalaman, yang bagi saya sangat mendesak, sangat asasi dan saya juga tumpukan untuk perkukuh semula dengan ASEAN sebagai kekuatan.
Jadi, saya mohon kalau boleh kita jelaskan betul-betul bahawa dalam dunia yang mencabar dan penuh persaingan serta ketidaktentuan ini, rakyat mesti digerakkan untuk menguasai ilmu, kemahiran dan mempunyai semangat untuk mengangkat martabat negara dan bangsa," kata Datuk Seri Anwar kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam UiTM Dengkil.
Terdahulu, beliau meluangkan masa makan tengahari dan beramah mesra dengan mahasiswa sebelum menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 3,000 jemaah.