KUALA LUMPUR, 30 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia untuk terus memelihara hubungan baik antara kaum dan agama serta menanam nilai ihsan dan kasih sayang demi keharmonian negara.
Menurutnya, sikap hormat-menghormati sesama rakyat adalah kunci kepada kestabilan dan keamanan negara.
"Tanpa sikap hormat-menghormati antara satu sama lain dan menanam sikap ihsan serta kasih sayang, negara ini tidak akan dapat menjamin kestabilan dan keamanan yang diharapkan.
"Mudah-mudahan, Aidilfitri kali ini disambut dengan kesedaran sedemikian, mengangkat martabat kita sebagai manusia yang lebih berwibawa, berakhlak mulia dan menjalankan tugas dengan penuh amanah," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat untuk terus prihatin terhadap golongan yang tersisih, termasuk mangsa bencana dan kezaliman di Gaza, Palestin.
Dalam usaha mendekati rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyertai siri Program Ihya’ Ramadan bagi menyaksikan sendiri realiti di peringkat akar umbi serta mendengar keluhan dan cadangan rakyat.
Katanya, program itu dijalankan di beberapa kementerian serta negeri, termasuk di Selising, Tawau, Chukai dan beberapa lokasi lain sepanjang Ramadan.
"Keistimewaannya ialah menyaksikan sendiri di peringkat akar umbi, mendengar denyut nadi rakyat, keluhan mereka dan usulan mereka serta melihat keberkesanan kaedah pelaksanaan yang dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Perbandaran atau Kerajaan Tempatan.
"Kita terus menjana pertumbuhan ekonomi, tetapi saya tegaskan bahawa kekuatannya akhirnya adalah kejayaan kita mengangkat taraf kehidupan rakyat terbanyak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Aidilfitri 2025.