fb fb fb fb fb

PM seru NGO, gerakan belia tolak rasuah dan salah guna kuasa

Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan penubuhan Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia di Ipoh malam tadi

IPOH, 8 Julai- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan belia di negara ini harus menyahut seruan kerajaan bagi menolak rasuah, salah guna kuasa dan penindasan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amalan tersebut harus ditolak dengan mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW bagi mengembalikan kegemilangan negara ini.

Katanya, Rasulullah SAW suatu masa dahulu bersama kekuatan keyakinan, akidah, akhlak dan nilai, mempertahankan hak serta keadilan dengan menolak penyelewengan, kezaliman serta rasuah dalam kalangan masyarakat.

"Kita harus berpakat, angkat martabat kita... (jika) mahu bersaing, kita harus punyai ilmu, harus tingkatkan erti keadilan, ajak umat Islam bersatu, berkawan dan dampingi yang bukan Islam yang baik bersama kita.

"Jayakan Malaysia ini sebagai negara hebat dan keramat," katanya ketika berucap merasmikan penubuhan Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi serta Presiden PLG, Datuk Abdullah Ghani Kassim.

Tambah Anwar, semua pihak mesti berganding bahu menolak kezaliman dan menghentikan salah guna kuasa yang hanya untuk memperkayakan diri sendiri serta 'kerabat'.

SITI AISHAH MD ISA