fb fb fb fb fb

PM seru kesatuan umat Islam, sokongan untuk Palestin di Bahrain

Anwar Ibrahim menjadi satu-satunya ketua kerajaan yang dijemput menyampaikan ucapan pada Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Manama, Bahrain/RTM

MANAMA, 19 Februari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan kesatuan umat Islam dalam menangani perpecahan yang melemahkan perpaduan politik serta mempertahankan perjuangan rakyat Palestin dan Syria.

Ketika berucap di Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Manama, Bahrain hari ini, beliau menegaskan pergantungan ekonomi, perpecahan politik dan kegagalan membentuk kesatuan menjadikan rakyat Palestin terus terdedah kepada pencerobohan berterusan.

"Semangat kebersamaan yang pernah menyaksikan umat Islam, Kristian dan Yahudi hidup bersama telah mencetuskan kebangkitan intelektual dan budaya dunia. Kini, kita perlu memulakan usaha penting untuk menyatukan umat Islam agar dapat bekerjasama serta memperkukuh semangat kemanusiaan, belas kasihan dan kepercayaan," katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kelemahan perpaduan politik dalam dunia Islam hanya akan menghalang kerjasama yang diperlukan untuk mempertahankan hak rakyat Palestin.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan pemimpin dunia Islam perlu menunjukkan solidariti dan komitmen berterusan dalam membantu perjuangan rakyat Palestin bagi membentuk sebuah negara yang aman, bukan sekadar menyuarakan kecaman lisan.

"Dunia Islam mesti menunjukkan solidariti dan kekal komited bersama Raja (Bahrain) Hamad dan Bahrain yang telah membuktikan semangat perpaduan baharu. Kita juga perlu menyokong inisiatif Arab Saudi untuk menganjurkan satu lagi persidangan," katanya.

Selain itu, beliau turut melihat Syria sebagai model bagi perdamaian dan pembinaan semula keamanan, selaras keperluan untuk memperkukuh semangat kemanusiaan yang merentasi sempadan agama dan negara.

"Ummah perlu memperlihatkan semangat kemanusiaan melangkaui batas agama dan negara. Biarkan sejarah mencatatnya melalui tindakan berintegriti serta komitmen yang teguh, bahawa kita adalah satu ummah dengan tujuan dan takdir yang sama," katanya lagi.

Menekankan sokongannya terhadap seruan Imam Besar Al Azhar Al Sharif, Dr Ahmed Al Tayyeb, Anwar menegaskan usaha mengukuhkan perpaduan perlu dipelopori oleh golongan ulama dan elit negara Islam.

"Kolonialisme, penjajahan serta ketidakadilan sistemik mengingatkan kita tentang akibat kelemahan dan perpecahan dalam ummah," katanya.

Persidangan IIDC dihadiri oleh lebih 400 cendekiawan Islam, pemimpin agama dan pakar yang membincangkan langkah konkrit dalam memperkukuh perpaduan umat serta menangani cabaran global yang dihadapi dunia Islam.

Perdana Menteri menjadi satu-satunya ketua kerajaan yang dijemput menyampaikan ucapan di persidangan yang berlangsung bawah naungan Raja Bahrain Hamad bin Isa Al Khalifa.

Ia turut dihadiri oleh Imam Besar Al Azhar, Al Sharif Dr Ahmed Al Tayyeb.

Persidangan IIDC merupakan acara yang dihadiri Perdana Menteri di luar lawatan rasminya ke negara Teluk itu atas jemputan Putera Mahkota Bahrain dan Perdana Menteri Salman bin Hamad Al Khalifa.

SITI AISHAH MD ISA