ALOR SETAR, 27 Februari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru dunia Islam untuk memperkukuh kecemerlangan ilmu sebagai alat utama dalam membawa perubahan kepada masyarakat.
Beliau menegaskan kecemerlangan bukan sekadar tertumpu kepada pencapaian akademik tetapi juga harus berlandaskan nilai dan tanggungjawab sosial.
Menurutnya dunia Islam masih ketinggalan kerana kurang memberi tumpuan kepada pendidikan, teknologi dan kekuatan ekonomi, selain berdepan defisit kepercayaan dalam kepimpinan dan sistem antarabangsa.
"Semua ini kerana adanya defisit kepercayaan (kehilangan keyakinan). Kita tidak lagi percaya pada perjuangan, pengorbanan dan sumbangan yang sebenar. Ramai pemimpin mengumpul kekayaan di luar batas kemampuan mereka. Jika dunia mengikut peraturan, tidak akan ada penindasan, penjajahan, eksploitasi dan penghinaan seperti yang kita lihat di Gaza dan Palestin," katanya.
Perdana Menteri turut menggesa golongan pelajar universiti agar bukan sahaja mencari ilmu, tetapi juga berusaha membawa perubahan positif dalam masyarakat.
"Cabaran utama adalah bagaimana generasi muda Islam perlu dididik lebih baik daripada generasi terdahulu untuk membawa perubahan kepada masyarakat, negara dan dunia," tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Ramah Mesra Pelajar Albukhary International University (AIU) di sini yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Naib Canselor AIU, Professor Datuk Ir Mohd Saleh Jaafar.
Terdahulu, Perdana Menteri beramah mesra dengan pelajar AIU dari dalam dan luar negara.