KUALA LUMPUR, 27 Februari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadap Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan telah berkesempatan menyembah maklum kepada Sultan Kedah mengenai pembangunan negara dan negeri itu, selain menyentuh soal kesejahteraan serta kebajikan rakyat.
"Usai sesi menghadap, saya menyertai Baginda Tuanku dan Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah untuk santapan tengah hari.
"Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga Tuanku Sultan dan Sultanah serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa berada dalam keadaan 'afiyah dan penuh kedaulatan. Daulat Tuanku," kata Anwar.