fb fb fb fb fb

PM sampaikan naskhah Mushaf Tarim kepada Al-Habib Umar Hafez

Anwar Ibrahim (tengah) bersama Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim Ben Hafez (kanan) pada Kuliah Subuh MADANI di Masjid Putra, Putrajaya pagi tadi/JAKIM

PUTRAJAYA, 16 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyampaikan naskhah Mushaf (al-Quran) Tarim Riwayat ad-Duri ‘an Abi Amr wa al-Basr kepada tokoh ulama besar dunia Islam, Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim Ben Hafez.

Penyampaian naskhah kepada pendakwah dan pendidik terkemuka dari Yaman itu menjadi simbolik pemuktamadan Projek 1 Juta al-Quran yang diilhamkan oleh Perdana Menteri dan dilaksana melalui kerjasama Kerajaan Malaysia, Yayasan Restu, Nasyrul Quran dan Darul Mustafa yang dipimpin Al-Habib Umar Hafez.

Mushaf berkenaan menggunakan bacaan Qiraat Riwayat ad-Duri, salah satu daripada 10 riwayat bacaan mashhur dalam tradisi al-Quran dan diterbitkan dalam saiz A5 dengan seni khat serta motif warisan Yaman yang menzahirkan hubungan Malaysia-Yaman serta usaha memartabatkan warisan ilmu al-Quran menerusi projek itu.

Penulisan mushaf dimulakan lima tenaga khat Yayasan Restu pada 2015, disempurnakan pada 2019 dan diterbitkan sepenuhnya pada 2024.

Terdahulu, lebih 10,000 jemaah menghadiri kuliah yang disampaikan Al-Habib Umar Hafez bertumpu kepada 77 cabang iman meliputi aspek akidah, akhlak dan syariah berasaskan kitab Qomi' Al-Thugyan ala Manzumah Syu'ab al-Iman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut hadir pada program berkenaan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA