fb fb fb fb fb

PM sambut baik penilaian IMF terhadap ekonomi Malaysia berdepan cabaran global

Malaysia mempamerkan daya tahan ekonomi yang kental tahun ini meskipun berdepan ketegangan dan ketidakpastian dasar perdagangan global.-Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 19 Disember - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik penilaian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap prestasi ekonomi Malaysia, dengan menegaskan keutamaan negara ketika ini adalah memastikan kestabilan ekonomi diterjemahkan secara bertanggungjawab dan dapat dirasai rakyat.

Datuk Seri Anwar menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, dalam keadaan dunia semakin mencabar, fokus kerajaan tertumpu kepada peluang pekerjaan yang terjamin dan adil merentasi sektor, di samping memperkukuh keyakinan rakyat terhadap masa depan negara.

"Kerajaan MADANI akan terus mengurus kewangan awam secara berhemah dan mempercepat pembaharuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, agar pertumbuhan yang kita bina benar-benar kukuh, berdaya tahan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Terdahulu media melaporkan, Malaysia mempamerkan daya tahan ekonomi yang kental tahun ini meskipun berdepan ketegangan dan ketidakpastian dasar perdagangan global, disokong oleh penggunaan dan pelaburan domestik, peningkatan pekerjaan dan kitaran kukuh sektor teknologi global.

Menurut Ketua Pasukan IMF bagi Malaysia, Masahiro Nozaki, prestasi teguh itu sebahagiannya mencerminkan dasar ekonomi negara yang kukuh, pihak berkuasa mengekalkan dasar makroekonomi dan kewangan yang berhemat.

ASHRIQ FAHMY AHMAD