fb fb fb fb fb

PM: Raikan kepelbagaian bangsa, agama sebagai kekuatan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kesungguhan barisan kepimpinan Sabah komited mempromosikan ciri-ciri budaya untuk melonjakkan industri pelancongan di negeri itu/Foto BERNAMA

PENAMPANG, 31 Mei - Jadikan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya sebagai satu kekuatan, bukan bibit perpecahan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Oleh itu, beliau menyeru seluruh rakyat di negara ini bersatu hati serta menghormati antara kaum, setiap budaya dan hak sesama individu ataupun komuniti.

Tegasnya, beliau tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan menyebarkan sentimen berunsur perkauman yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat serta mengancam keselamatan negara.

"Kerana ada suara-suara yang mengatakan kita ini tidak bertoleransi.

"Saudara kritik Ketua Menteri, silakan, saudara kritik Perdana Menteri silakan, tidak bersetuju dengan beberapa dasar, boleh. Saudara membuat tuntutan munasabah juga boleh.

"Diminta mengusulkan hal-hal yang sukar, boleh. Tetapi kalau mula menghina kaum dan agama, menolak hak mereka, saya jawab tidak boleh dan tidak boleh diizinkan," katanya dalam ucapan pada Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.

Anwar juga turut memuji kesungguhan barisan kepimpinan Sabah komited mempromosikan ciri-ciri budaya untuk melonjakkan industri pelancongan di negeri itu.

"Ini menjadi tunggak dalam pesta kebudayaan negara kita. Ini langkah-langkah perubahan yang penting kerana ia memberikan satu gambaran bahawa Malaysia ini satu kesatuan yang kukuh kerana kepelbagaian kaum," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN