fb fb fb fb fb

PM puji komitmen pemimpin Kenya dalam usaha noktahkan kemiskinan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bersama Presiden Kenya William Samoei Ruto pada majlis makan malam /PMO

NAIROBI, 24 November- Malaysia memuji komitmen teguh Kenya dalam usaha menoktahkan kemiskinan dan menyediakan perumahan mampu milik untuk rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, usaha itu sebagai satu bentuk kepimpinan yang luar biasa serta menyatakan itu juga antara matlamatnya demi kesejahteraan rakyat.

Bercakap pada majlis jamuan negara dihoskan oleh Presiden Kenya William Samoei Ruto malam tadi, beliau berkata program bercita-cita tinggi negara Afrika Timur itu, yang menyasarkan pembinaan lebih 150,000 unit kediaman untuk golongan berpendapatan rendah, mencerminkan contoh kepimpinan yang luar biasa.

Datuk Seri Anwar, yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari itu, berkata beliau terinspirasi dengan fokus Kenya menggunakan kuasa dan tadbir urus bagi mengangkat martabat golongan miskin kerana usaha sedemikian selaras dengan semangat perjuangan Jomo Kenyatta yang memperjuangkan kebajikan rakyat.

Kenyatta adalah Presiden pertama Kenya serta pemimpin utama gerakan kemerdekaan negara itu, dan beliau berkhidmat dari 1964 hingga kematiannya pada 1978.

Datuk Seri Anwar juga berkata Malaysia dan Kenya akan mempertingkat kerjasama dua hala khususnya dalam sektor perdagangan serta pelaburan.

Tambah beliau, Malaysia bersedia berkongsi kepakaran dalam bidang semikonduktor serta sektor elektrik dan elektronik.

Perdana Menteri berkata perbincangan antara kedua-dua negara akan diteruskan hari ini yang merangkumi perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi lebih luas semasa mesyuarat dua hala.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, para pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan.

Kenya bersempadan dengan Sudan Selatan di bahagian timur laut, Ethiopia di utara, Somalia di timur dan Lautan Hindi di tenggara, Tanzania di barat daya serta Tasik Victoria dan Uganda di barat.

Pada 2024, Kenya muncul sebagai rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Afrika dengan nilai dagangan mencecah RM5.7 bilion, peningkatan 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion tahun sebelumnya.

Perdana Menteri dijadual berlepas dari Nairobi ke Malaysia lewat hari ini sekali gus mengakhiri lawatan beliau ke tiga negara di benua Afrika.

SITI NOORAIN ABDULLAH