PM puji dedikasi warga KPDN, laksana Jualan Rahmah MADANI sepanjang Ramadan

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 9 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada seluruh jentera Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atas komitmen luar biasa dalam membantu mengawal kos sara hidup rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • 1,898 siri Jualan Rahmah MADANI dilaksanakan sepanjang Ramadan bagi meringankan beban rakyat.
  • Petugas KPDN bertugas tiga hingga empat kali ganda berbanding biasa demi kelancaran program.
  • Sepanjang 2025, 25,708 siri PJRM merekodkan lebih 27.5 juta transaksi pembelian.
  • Mesyuarat NACCOL akan diadakan untuk merangka Pelan Tindakan Kos Sara Hidup 2026-2030 selari RMKe-13 dan Kerangka Ekonomi MADANI.

Beliau menyifatkan dedikasi petugas KPDN sebagai amat luar biasa, terutama sepanjang bulan Ramadan ini apabila sebanyak 1,898 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) berjaya dilaksanakan di seluruh negara.

Menurut beliau, kejayaan penganjuran program berskala besar itu tidak mungkin tercapai tanpa komitmen tinggi jentera kementerian yang bertugas berkali ganda berbanding bulan biasa bagi memastikan beban rakyat dapat diringankan.

“Bayangkan pada bulan Ramadan ini sahaja, sebanyak 1,898 siri Jualan Rahmah MADANI dilaksanakan. Jika tidak ada jentera yang benar-benar komited, mustahil ia dapat dijayakan kerana mereka perlu bekerja tiga atau empat kali ganda daripada bulan sebelumnya.”

Setakat ini, saya belum mendengar sebarang rungutan, dan ini menunjukkan satu tahap kesabaran yang luar biasa,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga KPDN, di sini hari ini.

Tambah beliau, biarpun tugasan tersebut sering dianggap rutin sebagai program kerajaan, hakikatnya skala pelaksanaan kini jauh lebih besar dan mencabar.

Berdasarkan rekod, sebanyak 25,708 siri PJRM telah dianjurkan sepanjang tahun 2025 dengan merekodkan lebih 27.5 juta transaksi pembelian.

“Dulu program sebegini hanya melibatkan puluhan siri sahaja, tetapi sekarang sudah mencecah ribuan. Tentunya ia lebih membebankan, namun mereka tetap melaksanakannya dengan penuh dedikasi demi manfaat rakyat,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dalam masa terdekat bagi membincangkan persiapan awal Pelan Tindakan Kos Sara Hidup 2026-2030.

Pelan strategik tersebut akan dirangka selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) serta Kerangka Ekonomi MADANI bagi memastikan langkah menangani isu kos sara hidup rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan dan mampan untuk jangka masa panjang.