KUALA LUMPUR, 17 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mesyuarat kabinet bermula bagi menzahirkan pandangan dan pendirian akar umbi UMNO terhadap isu kalimah Allah.
Jelas beliau, Perdana Menteri menyatakan komitmen untuk terus mempertahan ketetapan dasar kerajaan berkenaan isu penggunaan kalimah Allah sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2014.
"Pada masa sama, kerajaan akan memperkemas isu penguatkuasaan terhadap dasar penggunaan kalimah Allah dan memutuskan untuk mempersembahkan cadangan kepada Majlis Raja-Raja.
"Ini bagi memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana peruntukan perlembagaan akan terus terpelihara, selain mengekalkan perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia," kata beliau melalui Facebooknya, hari ini.
(Foto FB Zahid Hamidi)
Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah.
Dalam hal itu katanya, Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.