fb fb fb fb fb

PM pengerusikan mesyuarat di INTIM, hadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI

FOTO RTM

KEMAMAN, 21 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Terengganu yang berlangsung di Institut Tadbiran Awam (INTIM) Wilayah Timur, Geliga, Kemaman, petang ini.

Ketibaan beliau pada pukul 4.56 petang disambut oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Mesyuarat tertutup itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan pegawai-pegawai kerajaan negeri dengan perbincangan berlangsung lebih satu jam sebelum berakhir pada pukul 6.19 petang.

Selepas mesyuarat, Perdana Menteri mengadakan lawatan Citra Kasih Ramadan Walkabout di Bazar Ramadan Jalan Padang Astaka, Chukai bagi meninjau suasana jualan serta beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung.

Beliau kemudian menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Masjid Sultan Ahmad, Chukai kira-kira pukul 6.50 petang.

Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Besar Terengganu serta barisan kepimpinan negeri bersama 1,500 tetamu jemputan.

SITI AISHAH MD ISA