SEPANG, 5 Oktober - Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.45 malam dengan pesawat khas bagi memulakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula hari ini hingga 7 Oktober.
Lawatan Shehbaz dan delegasi tersebut dipercayai atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kunjungan balas kepada lawatan rasmi Datuk Seri Anwar ke Pakistan pada Oktober tahun lalu.
Ketibaan Shehbaz dan delegasi disambut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Sejurus tiba, Shehbaz memeriksa kawalan kehormat setempat Batalion Pertama Rejimen Melayu Diraja yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat diketuai Kapten Nor Saifullah Mahmad @ Mohammed.
Sepanjang lawatan, Shehbaz dijadual menerima sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya esok diikuti mesyuarat dua hala bersama Datuk Seri Anwar.
Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan beberapa pertukaran memorandum persefahaman (MoU) merangkumi pelbagai bidang serta melancarkan terjemahan naskhah dalam bahasa Urdu 'SCRIPT: For a Better Malaysia' kepada Datuk Seri Anwar.
Selain dijangka menghadiri Persidangan Perniagaan dan Pelaburan antara Pakistan-Malaysia.
Lawatan itu dijangka memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama dalam bidang yang berkepentingan bersama; berasaskan hubungan kukuh sejak terjalin hubungan diplomatik sejak 1957, dan peningkatan hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik pada Mac 2019.
Tahun lalu, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Pakistan mencecah RM8.07 bilion (AS$1.76 bilion), meningkat 25.5 peratus berbanding tahun 2023.