fb fb fb fb fb

Bahasa Melayu jadi salah satu bahasa rasmi ASEAN, perbincangan diadakan dengan pemimpin - PM

(FOTO PMO)

KUALA LUMPUR, 23 Mac - Bahasa Melayu boleh dijadikan sebagai salah satu bahasa rasmi ASEAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob optimis ia boleh menjadi kenyataan suatu hari nanti dan perkara tersebut akan dibincangkan dengan pemimpin ASEAN.

Menurut beliau, Bahasa Melayu mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri khususnya dalam kalangan negara ASEAN.

Selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei Darussalam, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

"Pada masa ini, hanya 4 daripada 10 buah negara ASEAN yang menggunakan bahasa Inggeris dalam acara-acara rasmi di peringkat antarabangsa. Manakala, 6 buah negara lagi menggunakan bahasa ibunda sendiri dalam urusan rasmi masing-masing dan perlu diterjemahkan," katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Ismail Sabri juga memaklumkan, telah mula meminta supaya Kementerian Luar Negeri menyediakan nota percakapan serta dokumen berkaitan dalam Bahasa Melayu untuk rujukan beliau apabila mengadakan lawatan rasmi ke luar negara.

"Sebagai langkah awal dalam memartabatkan Bahasa Melayu, saya sendiri telah menggunakan Bahasa Melayu semasa Lawatan Rasmi saya ke Republik Indonesia, Negara Brunei Darussalam, Kemboja dan Thailand baru-baru ini. Terkini, semasa lawatan ke Vietnam pada 2 hari lepas, saya juga turut menggunakan Bahasa Melayu," katanya.

(Ismail Sabri ketika sidang media bersama wartawan Malaysia semasa lawatan rasmi ke Vietnam/PMO)

Tambahnya, rakyat tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

"Usaha memartabatkan Bahasa Melayu ini juga selari dengan salah satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan oleh Kerajaan pada 7 Disember 2021, iaitu Diplomasi Kebudayaan yang turut merangkumi elemen mengantarabangsakan Bahasa Melayu di persada dunia," jelas beliau.

Media Baharu