fb fb fb fb fb

PM mulakan lawatan rasmi, bertemu Presiden UAE bincang kerjasama

(Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE, juga
pemerintah Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan 
di Abu Dhabi)

ABU DHABI, 5 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan mengadakan pertemuan bersama Presiden UAE, merangkap Pemerintah Abu Dhabi serta Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan. Pertemuan berlangsung di Istana Qasr Al Shati'.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sesi tersebut merupakan ruang bertukar pandangan serta idea berkaitan isu glokal yang berkaitan, selain perbincangan untuk mengukuhkan kerjasama dan hubungan sedia ada khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, keselamatan makanan dan lain-lain yang memenuhi visi kedua-dua negara untuk masa depan yang mampan dan makmur.

"Dalam usaha meluaskan lagi hubungan sedia ada, Malaysia-UAE akan menjalinkan kerjasama melalui perjanjian persefahaman pelaburan antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pelaburan Antarabangsa UAE (UAEIIC)", katanya menerusi catatan difacebook.


(Foto facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Kedua-dua negara juga membincangkan kerjasama berkaitan tenaga boleh diperbaharui antara MIDA dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC – MASDAR.

Beliau berkata kerjasama tersebut bertujuan untuk membangunkan secara bersama kapasiti sebanyak 10 gigawatt bernilai AS$8 bilion dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Malaysia menjelang 2025.

"Kesepaduan kerjasama Malaysia-UAE berkaitan perdagangan dan pelaburan turut diharmonikan dengan pelantikan Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja, Presiden dan CEO Petronas sebagai Pengerusi Malaysia-UAE Business Council (MUBC), manakala Rashid Alblooshi, Naib Presiden Kanan Mubadala Energy mewakili UAE.

"Insya-Allah, Malaysia dan UAE akan terus meneroka bentuk kerjasama dan hubungan yang lebih erat bagi mengukuhkan ekonomi kedua-dua negara", katanya.

Turut hadir Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Media Baharu