fb fb fb fb fb

PM minta laporan penuh insiden pesawat Hornet dibentang di mesyuarat Kabinet

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya.

PUTRAJAYA, 22 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta Kementerian Pertahanan memberikan laporan penuh berkenaan insiden pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) F/A-18D Hornet di Pangkalan Udara Kuantan, semalam. 

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin memaklumkan siasatan berhubung insiden itu sedang dijalankan dan pihaknya akan membentangnya kepada Jemaah Menteri setelah siap. 

"Perdana Menteri telah minta Menteri Pertahanan untuk memberikan sedikit maklum berbalas dan status terkini siasatan terhadap kemalangan yang melibatkan pesawat F/A-18D Hornet di Kuantan malam tadi.

"Siasatan akan dilakukan akan dibentangkan semula ke Jemaah Menteri setelah ia siap," katanya pada Sidang Media Mingguan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini. 

Dalam pada itu katanya, Kementerian Pertahanan turut memaklumkan akan melakukan siasatan berhubung penahanan lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu lepas. 

"Perdana Menteri menyatakan kerisauan di atas aspek keselamatan yang mungkin timbul dan pihak Kementerian Pertahanan juga akan memberikan laporan penuh kepada Jemaah Menteri setelah siasatan di pihak SPRM.

"Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaafar maklumkan, pihak tentera juga akan melakukan siasatan, jadi kita tunggu siasatan tersebut," katanya.

Sebelum ini media melaporkan lima pegawai kanan ATM telah ditahan oleh SPRM selepas disyaki terbabit membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket untuk membawa masuk barangan larangan seperti dadah. Mereka yang ditahan termasuk anggota Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO).

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI