KUALA LUMPUR, 23 Januari - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima mengadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, petang tadi.
Satu hantaran di facebook Istana Negara menyatakan sesi mesyuarat Pra-Kabinet itu juga cukup istimewa buat kedua-dua pemimpin, khususnya kepada Al-Sultan Abdullah kerana ia merupakan kali terakhir sebelum baginda menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini.
"Sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Seri Paduka Baginda telah berkenan berangkat menghadiri mesyuarat Pra-Kabinet sebanyak 160 kali, termasuk sesi hari ini, dengan 4 Perdana Menteri Malaysia," menurut hantaran itu.
Mesyuarat Pra-Kabinet yang pertama ialah pada 13 Februari 2019.
Sesi hari ini turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan Seri Paduka Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama-sama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.