
PUTRAJAYA, 5 Februari – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu peranan Majlis Media Malaysia (MMM) diperkukuhkan bagi memastikan kebebasan media.
- Perdana Menteri mahu peranan Majlis Media Malaysia diperkukuh untuk memastikan kebebasan media terus terpelihara.
- Kerajaan sedia memberi ruang kebebasan media lebih terbuka dan mempertimbangkan kajian semula undang-undang berkaitan.
- Dana inovasi media dan perbincangan dengan MMM akan membantu syarikat media menghadapi cabaran teknologi dan penurunan perbelanjaan pengiklanan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu disampaikan Datuk Seri Anwar kepada beliau menerusi panggilan telefon, tengah malam tadi.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada membuat panggilan kepada saya tengah malam tadi untuk membincangkan perkara ini dan yang beliau sampaikan, maklumkan kepada saya berkait juga dengan memantapkan MMM.
“Kita telah sediakan dana inovasi media untuk membantu lebih banyak syarikat organisasi media berdepan dengan cabaran perubahan-perubahan yang terlalu mendadak mengakibatkan sama ada kehilangan perbelanjaan pengiklanan ‘advertising expenditure’,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Zchwantech Group dan Magna AI, di sini hari ini.
Menurutnya, perbincangan berkenaan bakal memperincinkan berkenaan cabaran semasa yang dihadapi pengamal media serta syarikat media.
“Daripada segi produktiviti bagi para pekerja cabaran teknologi, cabaran saya lihat ada beberapa perkara yang akan kita susuli tapi kita akan adakan beberapa perbincangan dengan MMM.
“Kerana itu yang kita lihat adalah badan perwakilan rakan-rakan dalam industri media dan sesuai untuk kita bincang lebih lanjut,” katanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri berkata kerajaan bersedia memberikan ruang kebebasan media yang lebih terbuka termasuk mempertimbangkan kajian semula undang-undang berkaitan, selaras dengan kematangan negara.