fb fb fb fb fb

PM mahu langkah reformasi pentadbiran awam dilaksana segera

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 2 September - Langkah-langkah reformasi dalam pentadbiran awam perlu dilaksanakan segera.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mengenai langkah yang akan diambil.

"Saudara boleh jangkakan bulan September ini bulan pergerakan reform yang lebih pesat.

"Saya akan mengadakan perbincangan dengan KSN dan KPPA, apa langkah-langkah yang perlu diambil untuk perbaiki prestasi yang dianggap sudah baik," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis perjumpaan bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Shamsul Azri dan Wan Ahmad Dahlan.

Dalam pada itu Anwar turut menyentuh beberapa aspek perkhidmatan awam yang beliau dilihat masih kurang memuaskan dan mahu semua pihak segera melaksanakan perubahan ke arah kebaikan.

"Semua ini harus kita lakukan kerana kita mesti melakukan anjakan sebaiknya", katanya.

Beliau menegaskan selain tumpuan kepada aspek tatakelola dan pertumbuhan ekonomi, kerangka Kerajaan MADANI turut fokus kepada keselesaan rakyat, justeru langkah reformasi perkhidmatan awam perlu dicapai dengan kaedah atau prosedur yang bersesuaian dengan peredaran zaman.

"Saya selalu anggap bahawa tahap kecepatan, kepantasan lakukan perubahan itu harus setimpal dengan tuntutan zaman dan masa. (Mungkin) ada beberapa peraturan biasa yang dijalankan puluhan tahun, yang baik, kita teruskan, tapi ada yang perlu kita ubahsuaikan tumpuan dan keutamaannya,” kata Anwar.

TETITIA YUSOFF