fb fb fb fb fb

PM mahu buruh wanita cecah 60 peratus setanding ekonomi serantau

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Jurang jantina dalam pasaran buruh harus dirapatkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia sebagai usaha dan tumpuan kerajaan dalam meningkatkan darjat hidup rakyat tanpa mengira jantina, kaum atau latar belakang.

Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia perlu mempunyai peluang yang saksama bagi mengecap kejayaan yang bermakna sama ada dalam kerjaya atau perniagaan mereka.

"Kita tidak boleh menafikan penyertaan buruh wanita masih di tahap rendah sekitar 55.5 peratus, ketimbang lelaki, 80.9 peratus.

"Perlunya usaha tuntas dari aspek perundangan dan kawal selia serta program sokongan bagi menggalakkan para ibu untuk kembali bekerja.

"Banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memastikan tahap penyertaan yang lebih tinggi oleh wanita di alam pekerjaan," katanya.

Anwar berkata, matlamatnya adalah untuk meningkatkan kadar penyertaan buruh wanita untuk mencecah 60 peratus supaya lebih setanding dengan ekonomi serantau.

Oleh itu, kerajaan mempergiatkan peluang keusahawanan, program latihan dan pembiayaan untuk golongan sasar, termasuk wanita dan belia.

"Sukacita diumumkan, kerajaan akan menambah lagi peruntukan RM400 juta untuk pinjaman mikro di bawah agensi termasuk SME Corp, Tekun, MARA dan Teraju.

"Ini termasuk menangani isu sistemik seperti kerja-kerja penjagaan tanpa gaji, diskriminasi jantina serta dasar sokongan keluarga," katanya.

Tambahnya, sebagai salah satu inisiatif Ekonomi Penjagaan (Care-Economy), usaha segera termasuklah menyediakan pusat jagaan kanak-kanak mampu milik yang dilihat berupaya meningkatkan kadar penyertaan wanita di alam pekerjaan.

Katanya, kerajaan juga akan memudah cara proses pendaftaran dan memperluas program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara dengan peruntukan RM10 juta.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:
Perdana Menteri bakal lancar 'Ekonomi Madani: Memperkasa rakyat' esok
Ekonomi Madani sasar jadikan Malaysia 30 ekonomi terbesar dunia
Ekonomi MADANI: Kerajaan tambah baik skim pinjaman rumah sehingga 120 peratus
Kerajaan akan pastikan rakyat terima akses universal - Anwar

Media Baharu