PADANG BESAR, 1 April - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM14 juta bagi Projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian di Perlis.
Katanya, peruntukan tambahan projek ICQS Wang Kelian itu bagi menyelesaikan segera isu kesesakan di pintu berkenaan.
Peruntukan berkenaan diluluskan segera kepada negeri Perlis selepas perkara itu dibangkitkan oleh Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dalam pertemuan mereka tengahari tadi.
"Menteri Besar ambil peluang lah, saya terpaksa dengar minta itu minta ini, bukan untuk dia, tetapi untuk rakyat Perlis, sebahagiannya saya lulus segera.
"Sebahagiannya esok lusa, mesyuarat Jemaah Menteri saya akan sampaikan untuk jemaah menteri bincang untuk memberi keutamaan membantu, sebahagiannya mestilah ikut agensi pusat, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan kementerian berkenaan untuk kaji," kata Anwar ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Perlis di Felda Chuping, Perlis.
Selain itu, terdapat juga beberapa lagi keperluan lain yang diperlukan negeri Perlis seperti peruntukan untuk mesin pengimbas di Pelabuhan Darat Perlis serta peruntukan mengurus bagi kerajaan negeri Perlis.