fb fb fb fb fb

PM lega, gencatan senjata Israel-Hamas bermula hari ini

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 24 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa lega dan bersyukur dengan persetujuan gencatan senjata sementara antara Israel dan Hamas yang berkuat kuasa hari ini.

"Ya, ia melegakan. Namun, kita berhadapan dengan rejim yang ganas. Mereka kekal membuat kenyataan akan meneruskan keganasan. Itu sangat membimbangkan kita," kata Anwar kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Surau Al-Furqan, di sini.

Mengulas mengenai kemungkinan Malaysia akan menghantar pasukan sukarelawan ke Gaza, beliau menyatakan ia bergantung kepada keputusan yang dicapai bersama negara-negara lain. 

"Ia terserah kepada keputusan bersama. Kita terbuka nak hantar apa pun, kita setuju. Cuma tertakluk kepada persetujuan kita dengan negara-negara Arab, negara Islam dan jiran sekitar Palestin," tambah Anwar.

Menurut Kementerian Luar Qatar, pihaknya yang bertindak sebagai perunding antara Israel dan Hamas memaklumkan gencatan senjata sementara seperti yang dipersetujui kedua-dua pihak terlibat dalam peperangan hampir tujuh minggu itu akan berkuat kuasa pada pukul 7.00 pagi waktu tempatan. 

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan Solat Jumaat di Surau Al-Furqan, Putrajaya bersama hampir 2,000 jemaah.

Beliau tiba kira-kira pukul 1.06 tengah hari disambut Pengerusi Surau Al-Furqan, Datuk Sh Yahya Sh Mohamed dan pengurusan surau serta jemaah.

Khutbah bertajuk "Kepimpinan Yang Diberkati" dibacakan Khatib Mohd Zaini Ahmad dan seterusnya solat Jumaat diimamkan oleh Imam Syed Ahmad Syakuur Dihya.



Usai menunaikan solat, Datuk Seri Anwar sempat beramah mesra dan menjamu selera bersama penduduk sekitar.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM