fb fb fb fb fb

PM adakan lawatan rasmi sehari ke Kemboja esok

(Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand pada 9 dan 10 Februari lalu/FOTO Pejabat Perdana Menteri)

PUTRAJAYA, 26 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi sehari ke Kemboja esok atas undangan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.

Ia adalah lawatan rasmi luar negara ketujuh bagi Anwar selepas Arab Saudi, sejak mengangkat sumpah jawatan pada 24 November tahun lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, lawatan rasmi Anwar itu akan mengukuhkan lagi kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Kemboja yang terjalin sejak tahun 1957.

"Selain pertemuan rasmi pemimpin kedua-dua negara, lawatan itu turut membuka peluang kerjasama baharu dalam sektor perburuhan, perniagaan dan keselamatan pekerja," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Zambry berkata lawatan rasmi itu merangkumi sesi menghadap Raja Kemboja Raja Norodom Sihamoni di Istana Diraja Kemboja.

Anwar turut dirai dalam satu upacara sambutan rasmi di Peace Palace dan sejurus selepas itu, beliau mengadakan pertemuan dengan Hun Sen.

"Satu sesi sidang media bersama akan diadakan susulan pertemuan Anwar dan Hun Sen bagi memaklumkan hasil perbincangan oleh kedua-dua pemimpin," katanya.

Zambry berkata semasa lawatan itu, Anwar akan menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Kemboja.

"Dijangkakan beberapa isu akan dibincangkan antaranya sindiket penipuan pekerjaan, kita mohon supaya Malaysia dan Kemboja dapat bekerjasama untuk mengatasi masalah yang berlaku ini," tambahnya.

Zambry berkata sehingga kini, Malaysia berjaya menyelamatkan 287 orang dalam kes-kes penipuan pekerjaan di Kemboja yang melibatkan rakyat Malaysia.

Selain itu pemeteraian kedua-dua MoU itu akan memperkasakan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam sektor perburuhan.

Khususnya mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja Bagi Sektor Domestik serta Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja Bagi Sektor Formal.

Dalam rangka program rasminya yang diatur oleh kerajaan Kemboja, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat Kemboja Say Chhum dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja Heng Samrin.

Bersempena dengan bulan Ramadan, Anwar akan turut menghadiri majlis iftar khas yang dihoskan oleh Hun Sen bersama-sama golongan ilmuwan dan masyarakat Islam di Kemboja.

"Semasa majlis Iftar tersebut, akan berlangsung juga majlis penyampaian sumbangan 1,500 naskhah terjemahan al-Quran dalam Bahasa Khmer dan Bahasa Inggeris dari Malaysia kepada masyarakat Islam di Kemboja," katanya sambil menambah Perdana Menteri akan berlepas pulang sejurus selesai mengerjakan solat tarawih di Masjid Al-Serkal di Phnom Penh.

Zambry juga berkata lawatan itu mencerminkan hubungan dua hala akrab Malaysia dan Kemboja yang telah terjalin lebih enam dekad.

Kemboja merupakan rakan dagangan ke-58 terbesar Malaysia dan kelapan terbesar dalam ASEAN dengan nilai dagangan US$683.6 juta, peningkatan sebanyak 20.8 peratus berbanding yang dicatat pada tahun sebelumnya.

Nilai eksport ke Kemboja pula meningkat sebanyak 15.3 peratus kepada US$526.5 juta manakala import dari Kemboja merekodkan peningkatan 43.5 peratus kepada US$157.1 juta berbanding tahun sebelumnya.


Anwar dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada 9.15 pagi dan disambut oleh Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Kemboja bagi Hal Ehwal Islam Datuk Dr Othsman Hassan selaku Menteri Pengiring mewakili kerajaan Kemboja.

Dalam lawatan itu, Anwar akan diiiringi oleh Zambry, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Media Baharu