fb fb fb fb fb

PM lawat ladang milik syarikat terkemuka di Qatar

DOHA, 28 Mac - Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Qatar diteruskan dengan meninjau ladang ternakan lembu tenusu Baladna Food Industries.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba kira-kira pukul 9.30 pagi diiringi Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Qatar, Faleh Nasser Ahmad al Thani.

Ketibaan beliau di Baladna, disambut oleh Pengerusi Kumpulan Moutaz al- Khayyat dan Pengarah Urusan Ramez al- Khayyat.

Perdana Menteri dan delegasi Malaysia dibawa meninjau ke seluruh kawasan ladang dari proses ternakan lembu tenusu sehingga proses pengambilan susu dan pengeluaran produk.

Beliau kemudian mendengar taklimat sejarah penubuhan Baladna yang di sampaikan oleh Ahli Lembaga Bebas, Aidan Tynan.

Ladang Baladna terletak di utara Doha itu berkeluasan 2.4 juta kaki persegi dan dilengkapi teknologi moden yang boleh menempatkan 24,000 lembu tenusu.

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melawat ladang milik syarikat Agrico)

Perdana Menteri dan delegasi Malaysia juga melawat sebuah lagi ladang milik syarikat pengeluar utama makanan di Qatar iaitu Agrico.

Ladang berkenaan terletak 58 kilometer dari Doha yang mengeluarkan buah-buahan, sayur dan makanan laut.

Hasil pengeluaran produk setiap hari disalurkan kepada 1,400 buah pasar, restoran dan hotel.

Sepanjang lawatan tersebut Datuk Seri Ismail Sabri diberi taklimat oleh Pengerusi Agrico, Ahmed Hussain al Khalaf.

Mengakhiri lawatan beliau menerima surat komitmen untuk pelaburan berjumlah US$360 juta dari Agrico Qatar.

Surat komitmen tersebut disampaikan oleh pengerusi syarikat itu, Ahmed Hussain Al-Khalaf pada majlis ringkas melawat ladang sayuran organik, cendawan dan udang milik Agrico di Al Khor, kira-kira 50 kilometer di utara Doha.

Turut hadir Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh.

Media Baharu